Kuala Lumpur | Naib Ketua Umno Bahagian-Bahagian Malaysia menentang sebarang perbincangan dan usaha menyatukan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Anuar Mohd Yunus berkata, persefahaman dengan PH adalah suatu pengkhianatan paling besar dan mereka yang bersekongkol dengan usaha itu tidak boleh dikompromi.
Katanya, pihaknya juga mendesak Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya serta merta, demi pertanggungjawaban terhadap kekalahan yang memalukan, malah lebih teruk daripada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin, namun penolakan jelas rakyat terhadap Umno terpaksa diambilkira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat, seterusnya mengembalikan Umno di hati mereka.
“Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN juga diminta melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno sebagai tanda betapa beliau bertanggungjawab atas kekhilafan strategi dan calon-calon yang dipertaruh BN.
“Kegagalannya mengotakan beberapa janjinya termasuk mengekalkan penyandang-penyandang Ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable Likeable (WALI)’ yang diuar-uarkan, mengakibatkan berlaku defisit kepercayaan penyokong dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua pemimpin Umno yang jelas dilihat dekat di hati rakyat hendaklah diberikan tempat serta-merta di dalam kepimpinan Majlis Tertinggi Umno.
“Mereka yang jelas menjadi perhatian rakyat melalui pertambahan majoriti kemenangan yang ketara, mereka yang berjaya merampas kembali kawasan-kawasan yang sebelum ini tewas, terutamanya kawasan bandar dan tidak ketinggalan bagi yang berjaya merobek kubu lawan yang mana masih tewas tetapi berjaya merobek majoriti lawan dengan begitu besar, harus ditempatkan di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai suatu ekspresi kepada rakyat bahawa Umno mengambil maklum akan kehendak dan suara mereka.
“Meneliti kembali pola kekalahan BN di kawasan-kawasan yang selama ini diberikan khidmat bela rakyat dengan cemerlang oleh penyandang kita sebelum ini, malangnya mereka dinafikan untuk kembali bertanding sehingga BN akhirnya tewas di kawasan-kawasan berkenaan.
“Maka mereka harus diberikan tempat dan peranan di dalam pucuk pimpinan parti bagi menunjukkan apresiasi parti terhadap isyarat rakyat,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN