KOTA BHARU | Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial supaya mengekang diri daripada menyalahgunakan platform berkenaan untuk menyebarkan kandungan provokasi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam satu kenyataan malam ini berkata, ia berikutan PDRM mengesan tindakan pengguna yang memuatnaik kandungan menyentuh sentimen perkauman, keagamaan dan menghina institusi diraja.
Katanya, ia berlaku susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan dalam tempoh pembentukan kerajaan.
“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial supaya mengekang diri daripada menyalahgunakan platform berkenaan untuk menyebarkan kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.
“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.