BUENO AIRES | Pengurus Argentina, Lionel Scaloni dikritik hebat oleh peminat bola sepak negaranya sendiri setelah melakukan kesalahan besar apabila tidak menurunkan pertahanan kental Manchester United, Lisandro Martinez dalam kesebelasan utama ketika pertemuan dengan Arab Saudi sebentar tadi.
Martinez yang mempunyai 10 caps bersama skuad kebangsaan Argentina menampilkan aksi cemerlang untuk skuad Red Devils sejak berpindah daripada Ajax Amsterdam pada musim panas lalu, sekaligus menjadi antara tonggak utama di bawah percaturan pengurus United, Erik ten Hag.
Bagaimanapun Scaloni mengambil keputusan untuk menurunkan pertahanan Manchester City, Nicolas Otamendi untuk bergandingan dengan pemain Tottenham Hotspurs, Christian Romero di benteng pertahanan Albicelestes.
Para peminat Argentina menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu jenayah dan tidak kurang menyifatkan Scaloni sudah hilang akal dengan keputusannya itu.
Percaturan Scaloni memakan diri setelah Argentina yang mendahului permainana di separuh masa pertama menerusi jaringan Lionel Messi akhirnya bolos jua pada babak kedua dalam tempoh lima minit menerusi jaringan Saleh Al Shehri dan Salem Aldawsari.
Penggendali berusia 44 tahun itu akhirnya akur untuk memasukan Martinez bagaimanapun ia sudah terlambat untuk menghalang Arab Saudi meraih tiga mata untuk perlawanan pembukaan kumpulan C, sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah 36 perlawanan yang dimiliki Argentina sebelum ini. SUMBER: AGENSI