KUALA LUMPUR | Pertubuhan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah segera melantik Perdana Menteri ke-10 bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit.
Presiden TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya menyampaikan keresahan kepada baginda mengenai kedudukan kerajaan yang belum dibentuk walaupun sudah memasuki hari keempat selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Beliau berkata, bagi rakyat setiap detik yang berlalu menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit apabila perbelanjaan dan pelaburan terencat.
Katanya, keyakinan pihak pelabur juga akan luntur apabila melihat negara dalam keadaan tidak menentu.
“Adalah mengecewakan apabila cadangan Al-Sultan Abdullah untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, tidak dipedulikan parti Perikatan Nasional (PN) dengan sikap kepentingan parti melebihi kepentingan negara.
“Susulan itu, kami memohon perkenan baginda supaya segera menyantuni hal ini bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit akibat rakyat yang kini menghadapi kesusahan, selain ada golongan yang dihasut untuk mencetus ketegangan atas nama agama dan perkauman,” katanya.
Media melaporkan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok di Istana Negara sebagai usaha Al-Sultan Abdullah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi tadi. SUMBER: BERITA HARIAN.