Kain pelikat sebagai pakaian ketika solat ialah pemandangan biasa di Malaysia. Ramai jemaah lelaki yang memakainya baik ke masjid atau ketika bersolat sendirian di rumah. Pemakaiannya mudah namun ada ketika ikatannya boleh menjadi longgar dan perlu diketatkan semula.
Seandainya perkara ini berlaku dalam solat, maka pemakainya harus berhati-hati kerana tindakan mengetatkan semula ikatan melibatkan pergerakan yang tidak ada kaitan dengan rukun dan pergerakan solat. Hal demikiran kerana, salah satu syarat sah solat ialah tidak ada pergerakan yang berturut-turut, khususnya pergerakan yang besar.
Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, suatu perbuatan dikira banyak apabila melibatkan pergerakan tiga kali secara berturut-turut. Manakala perbuatan yang melebihi tiga kali tetapi dibuat secara berasingan atau tidak berturut-turut, ia dikira pergerakan yang sedikit sahaja dan tidak membatalkan solat.
Menurut Dr Rozaimi Ramle, pergerakan yang besar dalam Mazhab Syafie melibatkan anggota badan tangan contohnya pukulan (melibatkan pergerakan dari bahu ke tangan) dan langkahan. Langkahan pula dikira satu langkah apabila sebelah kaki sudah melangkah. Contohnya apabila perlu merapatkan saf maka digerakkan satu langkah kaki, itu sudah dikira satu pergerakan. Jika pergerakan besar ini dilakukan sebanyak tiga kali dan lebih, maka ia membatalkan solat.
Manakala gerakan yang sedikit adalah seperti gerakan jari. Namun, pergerakan jari yang banyak adalah makruh hukumnya jika tanpa keperluan.
Justeru, pergerakan dalam solat perlu dijaga sebaiknya. Jika perbuatan mengetatkan kain pelikat yang longgar tidak melibatkan pergerakan yang besar dan tidak berturut-turut, jangan risau solat anda masih sah. Jadi, ikat kain pelikat baik-baik ya sebelum solat!
Rujukan:
Dr Rozaimi Ramle. (2017). Pergerakan Yang Membatalkan Solat. https://www.youtube.com/watch?v=ri7L9jYKGMw
Wan Ahmad Naqiuddin. (2022). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-719: Perbuatan Mengikat Kain Ketika Sedang Solat, Adakah Membatalkan Solat? Mufti Wilayah Persekutuan.
KONGSIKAN ARTIKEL INI. SUMBER: TZKRH.COM