Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM16.1 juta dalam bajet tahun depan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi pelaksanaan projek tebatan banjir.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata agihan peruntukan bagi tahun 2023 dilakukan mengikut lembangan sungai bagi memastikan keberkesanan dalam pengurusan tebatan banjir.
Katanya, lembangan sungai utama terlibat termasuk Sungai Klang, Sungai Langat dan juga Sungai Selangor.
“Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutamanya di Lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat.
“Projek-projek tebatan banjir ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek-projek bawah peruntukan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir di negeri Selangor,” kata Amirudin.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan bajet negeri Selangor bagi 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan 21 tasik dan bekas lombong sebagai sumber bekalan air bagi memastikan bekalan air Selangor kekal lebih daripada mencukupi.
“Luas telah membangunkan kolam sumber bekalan ini melalui tiga fasa yang merangkumi audit kolam-kolam di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Klang, dan Sungai Langat, membina dan melebarkan kolam, serta menyambungkan antara kolam ke sungai,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, terdapat juga usaha untuk merawat air di Sungai Gong bagi meningkatkan kualiti air.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor memperluaskan kelayakan bagi program air percuma yang dinamakan Skim Air Darul Ehsan pada Oktober 2022.
Kerajaan negeri telah menaikkan pendapatan isi rumah yang layak daripada RM4,000 dan ke bawah sebulan dengan memasukkan isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan.
Amirudin berkata mereka akan meneruskan program ini tahun depan dengan peruntukan RM40 juta setahun.
“Perubahan syarat ini telah mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan juga situasi semasa negara yang sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan lonjakan inflasi,” katanya.
Pembentangan bajet penuh oleh Amirudin berlangsung hampir tiga jam. SUMBER: MALAYSIAKINI