KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjemput Dato’ Seri Anwar Ibrahim melawat Singapura dalam masa terdekat, selepas Lee menghubungi Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik melalui panggilan telefon pada hari ini, Jumaat (25 Nov).
Dalam panggilan telefon itu, Lee turut mengucapkan tahniah kepada Encik Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
“Saya mengenali Dato’ Seri Anwar selama beberapa dekad,” kata Lee dalam catatan Facebooknya pada Jumaat, sambil menambah bahawa kali terakhir mereka bertemu di Singapura adalah pada tahun 2018 ketika Anwar menyampaikan syarahan di Sidang Kemuncak Singapura mengenai kepentingan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.
“Sememangnya, Singapura dan Malaysia adalah rakan kongsi rapat. Negara kita berkongsi persahabatan yang telah lama terjalin, disokong oleh hubungan sejarah, budaya dan interpersonal yang kukuh,” ujarnya dalam catatan Facebooknya itu.
Menurut Lee yang turut memuatkan fotonya bersama Anwar pada 2018, terdapat lebih banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala untuk faedah bersama.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan beliau (Anwar) dan kerajaan baharu (di bawah pimpinannya) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala kami.
Terdahulu, pada Khamis (24 Nov), Lee telah menulis surat kepada Anwar untuk mengucapkan tahniah atas prestasi kukuh parti gabungannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).