KUALA LUMPUR | Tindakan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan yang dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh untuk jawatan Perdana Menteri ke-10 disifatkan sebagai di luar dugaan semua pihak.
Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Dr Barjoyai Bardai berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat Muhyiddin dalam satu sidang media yang diadakan pada petang semalam (24 Nov).
“Hal ini kerana, apabila Yang di-Pertuan Agong bersama-sama Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan (melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baharu), maka keputusan perlu dijadikan keputusan umum yang perlu diterima oleh semua pihak,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Menjelaskan lebih lanjut beliau menegaskan bahawa dalam perlembagaan Persekutuan juga tidak dinyatakan individu yang mempunyai sokongan yang mencukupi melalui akuan berkanun (SD) boleh menjadi perdana menteri.
“Dalam perlembagaan Persekutuan hanya dinyatakan siapakah yang difikirkan paling layak menjadi perdana menteri,” jelasnya.
Menurut beliau, perkara keabsahan itu bukan menjadi isu besar bagi pelantikan perdana menteri Malaysia ke-10.
“Muhyiddin dan PN boleh sahaja mengemukakan bukti keabsahan ini dalam parlimen nanti melalui undi percaya atau tidak percaya yang akan dilakukan di dalam pertemuan pertama di parlimen,” ujarnya lagi.
Keliru konsep kerajaan perpaduan
Justeru, Barjoyai turut menimbulkan persoalan bahawa beliau sebenarnya agak keliru dengan konsep kerajaan perpaduan di Malaysia.
“Definisi sebenar kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang mengandungi semua ahli parlimen iaitu tidak mengira daripada parti mana mereka datang.
“Jadi dalam kerajaan perpaduan tidak ada pembangkang, pembangkang akan ada dalam kerajaan sendiri,” tegas beliau.
Tambah Barjoyai, kewujudan kerajaan perpaduan merupakan satu tindakan yang kreatif dan inovatif.
“Jikalau wujud kerajaan (perpaduan) ini, pertamanya, kita boleh mengharapkan bahawa kabinet yang dilantik adalah meliputi semua wakil-wakil yang mempunyai kumpulan besar dalam ekonomi. Jadi, ia merupakan kumpulan profesional yang layak daripada pelbagai parti.
“Seterusnya melalui kerajaan perpaduan itu, ahli kabinetnya nanti tidak mengira seseorang itu terdiri daripada parti mana.
“Jikalau ini dapat dilakukan, kita boleh mencapai satu keajaiban baharu, yang mana Malaysia mempunyai kabinet daripada berbilang parti,” jelasnya.
Namun begitu, ujar Barjoyai, tidak mustahil ada pihak yang mempersoalkan jika semua parti ada dalam kerajaan, siapakah pula yang akan menjadi pembangkang?
“Pembangkang masih terus ada dalam parlimen kerana pembangkang boleh wujud dari dalam. Adalah mudah menjadi pembangkang dari dalam kerana setiap mereka mempunyai maklumat yang sama.
“Pembangkang dari luar mempunyai masalah kerana tidak ada previllage untuk mendapatkan maklumat-maklumat khusus tentang kerajaan,” katanya. SUMBER: HARAKAH