Kelantan berharap kerajaan di bawah pimpinan baru Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat mengekalkan hubungan yang baik dan semangat federalisme demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri itu.
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata walaupun berlainan pentadbiran antara negeri dan persekutuan namun segala peruntukan bantuan dan projek kepada negeri itu perlu diteruskan.
“Mana-mana kerajaan yang mengambil alih (kepimpinan) dia akan ambil alih semua, bukan untuk hari ini sahaja kerana ia adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri mengikut lunas-lunas perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Buku Darul Naim di Tunjong, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
- SUMBER: Bernama