Dalam hidup ini, ada kesilapan dan masalah yang telah kita tinggalkan di belakang. Kita telah berubah. Kita telah memohon ampun daripada Allah. Kita telah tutup buku lalu kerana ingin memandang lebih positif ke hadapan.
Tetapi ada kala, orang di sekeliling yang seolah-olah masih tidak ‘move on’. Mudahnya, masih mengungkit dan memperkatakan tentang kesalahan lampau.
“Itulah, dulu dia ni selalu hilangkan barang orang. Dah berubah dah dia”
“Ha ingat tak kau dulu selalu ‘liar’ sikit masa muda-muda”
Adakah anda pernah berada dalam situasi di atas sama ada anda orang yang menyebutkan ayat seumpamanya kepada orang atau mendengar ia diucapkan kepada anda sendiri.
Dalam keadaan ini, sebahagian orang akan terasa dengan kata-kata tersebut, rasa kecewa, sedih dan marah kerana kesilapan lampau diulang-ulang. Siapa sahaja yang suka diingatkan dengan kekurangan dan kelemahan diri.
Soalan yang muncul di minda mungkin; “Mengapa mereka masih tidak boleh melupakan?”
Maka apa yang perlu dibuat dalam keadaan ini?
1- Maafkan Dan Terima Diri Sendiri
Perkara pertama yang perlu kita tanyakan pada diri, adakah kita sudah memaafkan dan menerima diri kita yang pernah berbuat silap?
Segelintir orang sebenarnya masih dibelenggu dengan rasa bersalah daripada kesilapan lampau, walaupun diri telah berubah. Hal ini yang membuatkan ego anda tercalar dan hati terluka apabila perihal itu dibangkitkan semula.
Pujuklah diri dengan berkata; “Aku telah berubah ke arah lebih baik. Orang mungkin tidak percaya, tetapi aku sendiri percaya”.
Ayat-ayat pujukan begini memang tidak mengubah pandangan orang kepada anda tetapi sedikit sebanyak boleh meningkatkan rasa yakin dengan kemampuan diri.
2- Orang Akan Ingat Apa Yang Mudah Untuk Minda Mereka
Ada beza antara orang yang benar-benar ingin merendah-rendahkan dan mengejek anda, dan orang yang hanya sekadar teringat dengan perkara lepas. Mereka mungkin sekadar teringat dan tidak berniat buruk. Jadi, perhatikan juga dua perkara ini.
Manusia juga tidak ingat secara tepat semua perkara. Jika mereka hanya ingat apa yang mudah bagi mereka, maka mengapa kata-kata dan ingatan mereka begitu penting buat anda.
3- Orang Lebih Memberi Perhatian Kepada Diri Mereka Sendiri
Apabila kesalahan atau kelemahan lampau diungkit, ego kita biasanya tercalar. Kita rasa mahu membuktikan kepada orang bahawa kita telah berubah. Tetapi hakikatnya, adakah mereka ingin lihat perubahan itu atau mereka sebenarnya tidak memberikan tumpuan yang banyak pun kepada diri kita.
Manusia sekarang mempunyai kadar fokus yang pendek. Mereka cenderung untuk fokus kepada diri sendiri dan apa yang mereka inginkan. Yang mereka lihat pada orang lain adalah perkara-perkara yang dikira menarik yang mereka ingin miliki juga. Tengok sahaja skrin telefon yang sering ditenung apabila ada masa lapang – gaya hidup orang, cara orang lain pakai, kafe yang mereka kunjungi.
Jadi, sebenarnya perubahan itu paling utama bermanfaat kepada diri kita sendiri, sebelum ia dirasai oleh orang lain. Jika mereka tidak sedar perubahan itu pun, tidak mengapa. Ini hidup kita dan itu hidup mereka.
Kesimpulan
Jika orang sukar percaya, ditambah pula dengan mereka ingat perkara yang mudah sahaja dan lebih memberi tumpuan kepada diri sendiri, maka mengapa pandangan mereka tentang anda dianggap penting sehingga anda kecewa dan terluka?
Yang membahagiakan kita bukanlah semata-mata penerimaan orang, tetapi ketenangan yang kita cipta dari dalam diri sendiri. Orang yang tenang dan bahagia ialah orang yang tahu dirinya sendiri, fokus kepada diri dan melepaskan perkara-perkara yang tidak dapat dikawal lalu menyerahkannya kepada pengurusan Allah SWT.
KONGSIKAN ARTIKEL INI. SUMBER: TZKRH,COM