JELI | Seorang pelajar Politeknik Jeli ditemui lemas di air terjun Lata Goleng dekat Kampung Sungai Rual di sini, pagi tadi.
Mangsa, Wan Mohammad Syahiid Wan Abdul Aziz, 20, ditemukan lemas pada jam 10.40 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, mangsa ditemui di dasar sungai dalam jarak 7.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh.
Katanya, mangsa dipercayai dibawa arus deras berikutan paras air sungai naik selepas hujan lebat malam tadi.
“Mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang mencari dan menyelamat mangsa.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Jeli,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, mangsa sebelum itu terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 4.43 petang semalam sebelum rakan mangsa meminta pertolongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Operasi itu disertai oleh 13 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk daripada PPDA Machang dan Pengkalan Chepa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.