KOTA BHARU | Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12.9 juta bagi menaik taraf jalan, sehingga Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor, berkata peruntukan untuk tahun ini sudah disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan bawah Peruntukan Pembangunan Kerajaan Negeri pada setiap tahun di samping peruntukan bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Negeri (KAPJN) untuk membantu PBT membaiki dan menaik taraf jalan. “Sehingga Oktober tahun ini, sejumlah RM3.8 juta peruntukan bawah Peruntukan Pembangunan Kerajaan Negeri dan sejumlah RM9.1 juta peruntukan bawah KAPJN. “Antara faktor kerosakan jalan di jalan-jalan seliaan PBT yang dikenal pasti ialah kerja-kerja pembangunan yang membabitkan jentera berat secara sistem longkang yang tidak berkesan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) berhubung apakah perancangan dan kaedah penyelesaian kerajaan negeri berkaitan jalan rosak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua PBT diarahkan untuk memastikan kawalan terhadap kerja-kerja pembangunan dari masa ke semasa.
Katanya, untuk menaik taraf sistem longkang, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.9 juta kepada semua PBT di negeri ini bawah peruntukan pembangunan.- BERITA HARIAN