KOTA BHARU | Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan membuat siasatan terhadap empat anggota yang disyaki terbabit dengan ketum dan dadah.
Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, mereka termasuk dua anggota tetap yang berusia antara 20-an hingga 30-an disiasat.
Katanya, siasatan dibuat sebelum tindakan disiplin diambil terhadap mereka.
“Setakat ini, empat anggota berkenaan termasuk dua anggota dari pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) disyaki terbabit dengan dadah termasuk jenis Methamphetamine.
“Mereka ini dikesan terbabit dengan gejala terlarang ini hasil daripada program pemutihan yang dianjurkan oleh jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Zainal berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja kerana perbuatan mereka ini sangat berat dan membabitkan imej pasukan.
“Pihak polis juga mengambil tindakan terhadap mereka dan kalau boleh diambil tindakan berat jika didapati bersalah,” katanya.