By Hidayah Azali
KOTA BHARU | Cuti 711 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dibekukan bagi persediaan menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka Disember ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin berkata, cuti mereka dibekukan bermula esok sehingga 15 Januari depan.
Katanya, sebelum ini, pihaknya juga membekukan cuti anggota dan pegawai bomba bermula 4 November sehingga hari ini.
“Cuti dibekukan bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang dijangka Disember ini.
Banjir gelombang pertama sebelum ini tidak kuat dan kita dapat mengawalnya.
“Kita juga bersiap siaga dengan keanggotaan seramai 1,294 orang merangkumi anggota beruniform, Pasukan Bomba Bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela yang terlatih bagi menghadapi musim banjir kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Jasamu Dikenang JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, peralatan logistik iaitu bot sebanyak 47 buah termasuk sumbangan daripada kerajaan negeri Kelantan dan tujuh lori lori mencukupi untuk menampung keperluan membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.
Tamat.