KOTA BHARU | Seorang guru, Idres Ismail, 54, boleh menarik nafas lega pada pagi ini apabila Mahkamah Majistret Kota Bharu melepaskan dan membebaskan beliau daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah pada tahun 2015 lalu.
Keputusan dibuat oleh Majistret Muhammad Fitri Mokhtar di akhir kes pendakwaan selepas pihak pendakwaraya memanggil lima orang saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.
Muhammad Fitri semasa membacakan keputusan kes menyatakan bahawa tertuduh dilepaskan dan dibebaskan atas alasan terdapat percanggahan kenyataan saksi-saksi pendakwaan yang menyebabkan tiada prima facie.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala Tertuduh diwakili Peguambela, Nik Saiful Adli Burhan
Idres telah ditahan di sebuah stesen minyak sekitar Kota Bharu ketika pihak polis menjalankan Ops Ambang Merdeka pada 30 Ogos 2015 dan dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Idres ketika ditemui berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai guru seperti biasa dan menganggap kes ini sebagai ujian buat dirinya.
Beliau berharap kes ini tidak menjadikan masyarakat memandang serong terhadap dirinya sebagai seorang pendidik.