QUETTA | Empat orang terbunuh dan 27 yang lain cedera akibat kejadian letupan dahsyat angkara seorang pengebom berani mati yang telah menyasarkan sebuah trak polis di barat Pakistan.
Menurut Pegawai kanan Polis Pakistan, Ghulam Azfer Mehser berkata, serangan pada Rabu (30 Nov) itu berlaku ketika sekumpulan pasukan keselamatan yang berada dalam sebuah trak polis sedang menuju ke tempat pekerja pemberian vaksin polio, lapor AP.
Mehser turut memberitahu pemberita bahawa kempen imunisasi dan dan pemberian vaksin polio selama seminggu di barat Pakistan telah dilancarkan pada Isnin (28 Nov) lalu bertujuan untuk menyuntik lebih 13 juta kanak-kanak yang tinggal di daerah berisiko tinggi untuk mendapat suntikan penyakit polio.
Tambah beliau, letupan bom itu amat kuat sehingga trak tersebut jatuh terbalik ke dalam gaung.
Kejadian letupan itu juga turut merosakkan dua buah lagi kenderaan persendirian yang berada berhampiran dengan tempat kejadian.
Anggota polis, pasukan keselamatan dan pasukan penyelamat terus bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan mayat dan mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.
Menurut Ketua pasukan Program Pembasmian Polio Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Zalnul Abedin Khan menerusi kenyataan di Twitter berkata, sehingga kini Pakistan dan Afghanistan adalah dua negara di dunia yang mempunyai wabak polio kekal menjadi endemik.
Beliau berkata, Poliomielitis atau polio adalah virus yang sangat berjangkit yang kebanyakannya memberi kesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
“Virus ini disebarkan oleh manusia terutamanya melalui najis ke mulut termasuk daripada makanan atau air yang tercemar. Ia membiak dalam usus serta boleh menyerang sistem saraf dan menyebabkan lumpuh.
“Banyak kemajuan telah pun dicapai oleh negara Pakistan. Namun untuk mendapatkan akses kepada puak nomad tertentu di selatan wilayah Khyber Pakhtunkhwa masih menjadi cabaran kerana mendapat tentangan berterusan daripada masyarakat,” jelasnya.
Menurut agensi berita, United Press International (UPI), Mei 2022 telah menyaksikan Pakistan berdepan dengan peningkatan kes polio apabila lapan kanak-kanak dari sebuah wilayah yang sama dijangkiti virus itu. SUMBER: AGENSI