Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, memiliki keyakinan tinggi lawannya daripada Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan undi masyarakat kaum Cina dan India pada pilihan raya 7 Dis ini.
Menurutnya ia susulan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri walaupun presiden Umno sedang berdepan dengan kes mahkamah.
Katanya, pelantikan Ahmad Zahid memberi imej buruk kepada negara dan yang akan menerima kesan bukan hanya penyokong PH dan BN malh seluruh rakyat termasuk penyokong PN.
“Orang Melayu secara majoriti menolak pemimpin sebegini termasuk dalam kalangan orang Melayu yang memimpin Umno.
“Orang Tionghoa yang selama ini memberi sokongan kepada PH, saya yakin mereka kecewa kerana ia berlawanan dengan prinsip yang mereka pertahankan hari ini.
“Justeru saya seru pengundi Tionghoa di Padang Serai untuk menghukum perdana menteri dengan memberi sokongan kuat kepada PN sebagai isyarat mereka menolak pemimpin rasuah yang ada dalam kabinet,” katanya kepada media selepas merasmikan kejohanan bola keranjang di Padang Serai, hari ini.
Azman yang memenangi kerusi DUN Lunas sebagai wakil PKR pada 2018 dan berpaling tadah menyertai Bersatu berkata demikian ketika ditanya mengenai pelantikan barisan jemaah menteri kerajaan yang diterajui Anwar.
Sementara itu mengulas mengenai langkah calon BN, C Sivarraajh, memberi laluan kepada calon PH, Mohamad Sofee Razak, jelas Azman, ia pasti akan mengecewakan pengundi kaum India.
“Mereka merasakan penyokong BN akan menyokong PH, sebenarnya ia tidak semudah itu.
“Saya dapat maklumat, orang India sangat marah dengan tindakan yang dikenakan ke atas Sivarraajh dan dipercayai mereka akan buat undi protes.
“Mereka juga – seperti orang Tionghoa – tidak akan memilih parti yang mengutamakan pemimpin rasuah dan PN percaya akan berlaku juga sokongan kaum India kepada PN,” katanya. SUMBER: MALAYSIAKINI