Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan barisan Jemaah Menteri diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi sebagai ‘Kabinet kalut’, tidak menentu dan tiada keikhlasan.
“Dulu yang difikirkan lain, tapi lain pula yang dibuatnya,” katanya yang juga Setiausaha Agung BERSATU, merujuk janji dibuat Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepanjang berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu.
Hamzah berkata, pengumuman Anwar mengenai barisan menteri lantikannya jelas membuktikan apa yang dijanjikan PH dalam kempen PRU lalu hanya untuk mencari undi dan kini tidak menunaikan janji.
“Saya kasihan, yang kalah dilantik, tapi yang menang tak dilantik, sebab itu saya kata ini ‘Kabinet kalut’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan, disini hari ini.
Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun tetap menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar serta barisan Kabinet baharu, termasuk enam wakil dari Perak yang dilantik menjadi menteri yang disifatkannya perkara yang baik.
“Sebagai orang Perak, kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada Anwar. Orang UMNO pula sepatutnya mengangkat beliau sebagai hero kerana beliau dari Pulau Pinang datang ke Perak dan mengangkat Perak ke tahap ini,” katanya.
Mengenai hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mahu mendapatkan tunjuk ajarnya, Hamzah menegaskan, jika sesuatu yang dipinta atau diperjuangkan untuk kepentingan negara, beliau tiada masalah untuk memberi tunjuk ajar.