Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melihat pembentukan barisan Kabinet diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengecewakan dan agak terkebelakang.
Katanya, negara dan rakyat memerlukan perubahan politik dengan pentadbiran dan kerajaan yang berada pada tahap yang paling baik.
“Rakyat kecewa dengan Kabinet baharu kerajaan seperti diumumkan Anwar apabila pemimpin yang mempunyai kes di mahkamah masih dilantik memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan. Sangat terkejut kerana keadaan itu berlaku.
“Rakyat memerlukan perubahan politik, pentadbiran dan kerajaan yang berada pada tahap yang paling baik, tetapi pentadbiran negara agak terkebelakang apabila melihat komposisi Kabinet yang dilantik Anwar,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Kesyukuran Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Kuala Terengganu di Dataran Shah Bandar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PAS yang juga Ahi Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Kuala Tengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim. Abdul Hadi bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan apabila terus berlalu menaiki kenderaan selepas selesai menjamu selera.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan Persekutuan dan barisan Kabinet baharu yang dilantik tidak akan memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri serta memenuhi keperluan rakyat Terengganu.
“Kita hormati apa yang termaktub dalam Perlembagaan negara terutama pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat. Saya percaya (kerajaan Persekutuan diterajui parti lawan) tidak akan beri kesan besar kepada kerajaan negeri, kita akan sentiasa berjuang bersama dengan rakyat,” katanya.
Katanya, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub dalam perjanjain sebelum ini juga perlu diteruskan.