KUALA LUMPUR | Baru beberapa hari memegang tampuk pemerintahan negara, Pakatan Harapan (PH) sudah menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PH itu sama sekali berbeza dengan janji reformasi institusi yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Katanya, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin PH jelas menunjukkan cubaan untuk mendiamkan mereka yang berbeza pendapat dengan kerajaan.
“Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan telah membuat laporan polis terhadap saya kononnya saya telah menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.
“Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital juga membuat tuduhan yang sama terhadap saya.
“Sebelum itu, beliau membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan polis supaya menyiasat Tan Sri Abdul Hadi Awang atas dakwaan menuduh Anwar sebagai agen Israel. PDRM kemudiannya menafikan Abdul Hadi disiasat,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Muhyiddin berkata, tindakan ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.
“Apapun, saya tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka. Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat.
“Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu ‘dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun’,” katanya.