KUALA LUMPUR | Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa diminta tidak menyalahgunakan peruntukan kerajaan dengan membekalkan keperluan asas wanita di pejabat Menteri secara percuma.
Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Mastura Mohd Darby berkata, sebaliknya ia perlu dibekalkan kepada golongan yang berpendapatan rendah.
Katanya, Dr Zaliha perlu bijak dan cakna terutama berkait isu ‘miskin hadi’.
“Menteri tak perlu melabel wanita Malaysia ‘miskin haid’ sampai ke Pejabat Menteri pun miskin haid tetapi beliau perlu bijak dan cakna tentang isu masyarakat.
“Perkara yang penting ialah kita mendidik dan membantu anak-anak remaja perempuan yang baru akhil baligh tentang mengurus perkara asas kewanitaan dan kesihatan diri mereka agar dapat menangani isu-isu kesihatan, moral dan sosial di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mastura berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibawah Datuk Seri Rina Harun ini sudah melaksanakan program sama melalui agensi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Katanya, Program Kebersihan Asas Wanita, dengan mendidik dan membantu anak-anak remaja perempuan di luar bandar dalam kalangan golongan B40 sudah pun di laksanakan tahun ini.
“Rina sebelum ini sudah pun laksanakan program sedemikian dan inisiatif ini telah membantu seramai 130,000 remaja perempuan di kawasan luar bandar dan bandar dalam kalangan B40 untuk menerima manfaat Program Pemberian Kit Kebersihan Asas Wanita Kepada Remaja Perempuan (Kit SERI).
“Penerima bantuan termasuklah remaja perempuan Orang Asli menerusi 1,124 sekolah menengah terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan melalui peruntukan Belanjawan 2022.
“Peruntukan yang disalurkan ini meliputi perolehan untuk tuala wanita pakai buang dan tuala wanita guna semula serta program pendidikan SERI, iaitu aspek pengurusan haid yang betul dan kesihatan reproduktif kepada remaja,” katanya.