Ahli Parlimen (MP) Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membantah perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain yang membentuk Kerajaan Pusat yang dianggapnya telah menyebabkan demokrasi di Malaysia mati.
Kembali lagi mencurahkan perasaannya menerusi puisi yang penuh sindiran dan amaran beliau sambil itu memberi peringatan kepada pemimpin PH dan ketuanya sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kritikannya terhadap kerajaan PH-UMNO berterusan sejak kebelakangan ini dan terbaharu beliau malam tadi (17 Disember 2022) mengisytiharkan bahawa mulai Isnin ini (19 Disember) ketika Parlimen bersidang, beliau akan mengundi mengikut suara hatinya, bukan mengikut arahan.
Hassan yang juga seorang peguam mengarang puisi terbaharunya bagi mengulas MoU antara PH dan parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan, termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menerusi puisinya itu, Hassan mengingatkan sahabatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa walaupun memperoleh ratusan undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri, tetapi ahli Parlimen (MP) kini hilang hak kebebasannya.
“Sila dengar bicaraku
Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?
Ke mana perginya kepercayaan kita
Kepada pertimbangan bijaksana?
Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
Undi MP itu mesti mandatori
Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?
Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi”
Menurut Hassan lagi demokrasi di Malaysia kini telah berkubur dengan MoU yang memaksa setiap MP kerajaan mengundi menyokong Anwar dan semua usul yang dibawa kerajaan PH-UMNO.
“Benarkan aku bertanya
Ini autokrasi atau demokrasi?
Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
Lalu rayuan terakhirku,
Kembalikan hak kami para MP
Bebas mengundi
Menurut akal dan budi
Maka
Kepada mu abang Tuah
Aku lafazkan satu deklarasi di sini:
Biarlah aku dipancung mati
Aku tidak rela
Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.”
Kelmarin (16 Disember 2022), Anwar mengetuai PH menandatangani MoU dengan BN, GPS, GRS dan WARISAN, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana MP yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil.
MP terbabit dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi MP, manakala kerusi mereka perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan, jika tidak menyokong usul kerajaan
‘Perjanjian kuku besi’ yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap MP masing-masing yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.
SATU DEKLARASI
Ini bukan puisi
Ini satu deklarasi
Izinkan aku bertanya
Parlimen itu apa?
Aku diberitahu
Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
Parlimen itu kemuncak suara demokrasi
Oh, begitu rupanya,
Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
Yang bergerak satu hala saja
Mengikut arah si sang ketua
Biarlah aku bicara
Sebagai seorang MP di sini
Aku bukan robot, bukan zombi
Aku masih ada maruah
bukan bangkai bernyawa
Lusa 19 Disember
tarikh keramat di Palimen kami
aku isytiharkan di sini,
aku akan mengundi bebas ikut hatiku
akan aku berikan undi kepercayaan
kepada Perdana Menteri sahabatku
Namun begitu,
Sila dengar bicaraku
Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?
Ke mana perginya kepercayaan kita
Kepada pertimbangan bijaksana?
Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
Undi MP itu mesti mandatori
Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?
Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi
Kepada sahabatku
Benarkan aku bertanya
Ini autokrasi atau demokrasi?
Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
Lalu rayuan terakhirku,
Kembalikan hak kami para MP
Bebas mengundi
Menurut akal dan budi
Maka
Kepada mu abang Tuah
Aku lafazkan satu deklarasi di sini:
Biarlah aku dipancung mati
Aku tidak rela
Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.
Hassan Abdul Karim
Pasir Gudang
Sabtu 17 Disember 2022