KOTA BHARU | Keputusan Kerajaan meluluskan kenaikan tarif elektrik kepada sektor industri akan menambahkan lagi beban rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kenaikan sebanyak RM 0.20 se kw/j terhadap industri yang menggunakan voltage sederhana dan tinggi akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.
Katanya, walaupun tarif elektrik kediaman tidak dinaikkan tetapi peningkatan harga barang akan berterusan membebankan rakyat.
“Ia betul, tarif elektrik rumah tidak dinaikkan, tetapi apabila kos elektrik sektor industri meningkat pada tahap 54% hingga 66%, kilang pembuatan makanan seperti roti, minyak masak, susu, gula dan tepung akan terkesan akibat kenaikkan tersebut.
“(Ekoran itu) sekaligus mereka akan menaikkan harga jualan barang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata lagi, peningkatan tarif elektrik yang mendadak akan menjerumuskan negara ke arah penurunan daya saing antara negara serantau.
Ujarnya, ini kerana kadar yang dinaikkan tersebut, RM 0.50 se kW/j hingga RM 0.57 se kW/j lebih tinggi berbanding tarif di negara Indonesia dan Thailand.
“Ternyata kerajaan baru sekarang benar-benar berusaha untuk menyeksa rakyat kerana terlalu terburu-buru menaikkan tarif tersebut tanpa kajian yang lebih mendalam,” katanya.