Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak perlu diadakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun susulan peletakan jawatan Datuk Johari Abdul sebagai wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) kawasan itu hari ini (Ahad, 18 Disember 2022).
Ini kerana tempoh pengosongan kerusi di kawasan itu sudah terlalu hampir dengan pengakhiran penggai ke-15 yang akan menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan tidak lama lagi, kata Speaker DUN Kedah Datuk Juhari Bulat.
Menurutnya berdasarkan undang-undang sedia ada, PRK hanya perlu dijalankan sekiranya kekosongan jawatan tersebut dibuat dalam tempoh dua tahun sebelum berakhir penggal DUN.
“Tetapi kini tempohnya sudah sangat singkat iaitu hanya kira-kira tujuh bulan saja lagi sebelum penggal berakhir.
“Bermakna tak perlu lagi ada PRK. Kerusi DUN tersebut akan dibiarkan kosong dalam sidang DUN akan datang,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.
Johari yang juga Ketua Pembangkang DUN Kedah pagi ini mengumumkan untuk mengosongkan kerusi tersebut tanpa menyatakan sebab beliau berbuat demikian.
Namun peletakan jawatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa dia menjadi pilihan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Johari menang kerusi DUN Gurun dengan majoriti 4,207 apabila memperoleh 10,732 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Boey Chin Gan (6,525 undi); calon PAS Muzaini Azizan (5,257 undi) dan calon Bebas P Marimuthu (167 undi).
Mengulas lanjut Juhari berkata, kalangan ADUN pembangkang perlu bermesyuarat bagi menentukan individu yang akan menggantikan Johari selaku ketua pembangkang.
“Itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan siapa yang layak dan perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada saya secara rasmi,” katanya.