KUALA LUMPUR | Kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) perlu bagi penjelasan yang telus berkenaan peningkatan mendadak kos pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada RM50 billion kepada RM75 billion.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, Ketika kerajaan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed kos dianggarkan sekitar RM44 billion.
Katanya, manakala ketika Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kos meningkat kepada RM50 billion.
“Tetapi amat mengejutkan semasa kerajaan sekarang ini, kos dijangkan meningkat sehingga RM75 billion.
“Peningkatan kos tersebut akan menyebabkan kenaikan harga jualan tiket kereta api tersebut dan sekiranya ini berlaku, permintaan bakal mengecut kurang daripada jangkaan permintaan asal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu berkata, viabiliti projek pastinya akan menjadi tanda tanya dengan kenaikan sebanyak 50 peratus tersebut.
Ujarnya, begitu juga dengan impak ekonomi kepada industri negara memandangkan ECRL disasarkan lebih kepada pengangkutan barangan berbanding penumpang.
“Kita menuntut penjelasan yang telus lagi terperinci memandangkan ECRL adalah projek berskala besar negara yang menggunakan wang rakyat,” katanya.