KUALA LUMPUR | Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengambil tindakan terhadap jurulatih yang menampar pemain di hadapan khalayak ramai.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, benar disiplin sangat penting dalam kehidupan, namun tindakan ‘toxic-disipline’ juga wajar dihentikan.
Katanya, tindakan mendisiplin secara keterlaluan terutama melibatkan kekerasan fizikal terhadap kanak-kanak sangat tidak wajar dan memudaratkan.
“Di dalam kes jurulatih menampar pemain di hadapan khalayak, tindakan sebegitu sangat tidak wajar dan perlu dihentikan. Pelaku perlulah diambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berterusan menjadi budaya.
“Sebagai seorang yang aktif bersukan dan telah menyertai pelbagai jenis pertandingan termasuk bola tampar, saya merasakan tindakan yang keterlaluan itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan sebaliknya boleh membunuh minat seseorang terhadap sesuatu aktiviti sukan.
“Tindakan tersebut juga semestinya menjatuhkan semangat dan air muka mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, bersukan adalah aktiviti yang sihat menakala pertanding pula memupuk sifat bersaing yang sihat selain menggilap bakat.
Untuk itu katanya, jangan keterlaluan seperti penderaan mental dan fizikal yang boleh mendatangkan kesan kepada kanak-kanak atau pemain.
“Justeru itu, saya menyeru agar Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan mengambil serius tentang perkara ini.
“Satu garis panduan khas kejurulatihan perlu dikeluarkan segera agar menjadi rujukan kepada semua penggiat sukan terutama diperingkat sekolah.
“Ibu bapa atau penjaga perlu diberi keyakinan bahawa penglibatan anak-anak mereka di dalam sukan diperingkat apapun tidak memudaratkan sebaliknya memberi kebaikan dalam pembentukan sahsiah mereka,” katanya.