Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh wajar menggunakan kuasa sebagai menteri seperti yang termaktub dalam Akta Perbadanan Stadium 2010 bagi mencari penyelesaian ‘menang-menang’, sekiranya pasukan Harimau Malaysia beraksi ke final Piala AFF 2022, 13 Januari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata walaupun agak terlambat untuk menurunkan struktur menghalang padangan 21,000 penonton di Stadium Bukit Jalil, Hannah boleh menggunakan masa yang diberikan oleh akta itu untuk melambatkan proses pemasangan persediaan konsert Jay Chou pada 15 Januari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata kelebihan ini patut digunakan Hannah, dan tindakan itu bukannya menyalahgunakan kuasa.
“Jadi apakah penyelesaian menang-menang yang Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh boleh lakukan. Saya bangkitkan hal ini dalam kenyataan saya bukan bermaksud seperti mana yang beliau salah faham untuk menyalahguna kuasa beliau.
“Apa yang beliau perlu tahu ialah Akta Perbadanan Stadium 2010 “memberi kuasa yang besar untuk Yang Berhormat Menteri menguruskan dan menentukan apa yang boleh masuk dan tak boleh masuk dalam stadium” dan juga “kuasa membatalkan mana-mana perkara yang dikira mengganggu atau menjejaskan agenda pembangunan sukan di Malaysia”.
“Saya ambil contoh, Seksyen 12 Akta Perbadanan Stadium jelas merujuk bahawa Menteri memang ada kuasa penuh ke atas Perbadanan Stadium Malaysia dan Stadium Bukit Jalil itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan dirinya tidak boleh menyalah gunakan kuasa sebagai menteri untuk ‘mengorbankan’ konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang dijadual berlangsung 15 Januari ini.
Yeoh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa Yeoh berbuat demikian bagi membolehkan Stadium Nasional Bukit Jalil digunakan sepenuhnya untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Sabtu ini.
Yeoh memaklumkan, konsert Jay Chou itu merupakan konsert ‘world tour’ dan sebanyak 45,000 tiket sudahpun terjual.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau tidak faham mengapa Hannah tidak boleh bertolak ansur untuk membenarkan penganjur yang bertanggungjawab dengan logistik tersebut membuat pemasangan struktur 14 hari sebelum konsert berjalan.
Ini kerana, katanya lagi, antara faktor kenapa 21,000 penonton tak dapat tiket kerana pentas tersebut dipasang secara tergesa-gesa.
“Sedangkan kalaulah kita hanya pasang asas sahaja tak perlu pasang perkara ataupun tiang-tiang yang boleh menghalang pandangan 21,000 penonton bola sahaja, benda itu dibuat win-win bukan?
“Dan nanti di final pun sama. Sebenarnya kalaulah kita tambah jumlah pekerja tambah jumlah jentera tambah segala macam kemudahan agar pemasangan tiang ataupun stage tersebut dapat dibuat dalam masa satu hari, itu lebih baik, bukan?
“Sebenarnya boleh dibuat tapi itulah benda dah berlaku dan harapnya menjadi pengajaran kepada Menteri perlu tahu anda ada kuasa yang cukup besar untuk mencipta penyelesaian dan bukan beri alasan,” katanya.