Tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu disiifatkan sebagai tindakan yang tidak bertamadun.
Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Nazree Yunus, perbuatan itu juga tidak boleh menjadi contoh kepada mana-mana masyarakat dunia.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik yang menyemarakkan kebencian kepada Islam ( Islamofobia ) kepada masyarakat seperti mana yang dilakukan oleh ahli politik Sweden, Rasmus Paludan.
“Ia bukan saja mengundang kemarahan kepada rakyat Turkiye malah kepada umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Rembau berkata, Islam adalah agama harmoni yang menghormati agama dan budaya bangsa lain. Islam juga adalah agama yang menyampaikan kebaikan dan menyemai kedamaian.
“Agama Islam bukan seperti yang digambarkan oleh sebahagian pandangan barat yang membayangkan Islam adalah agama keganasan dan membawa kepada keganasan.
“Pendekatan dialog berterusan adalah menjadi ruang kepada masyarakat dunia untuk terus mengenal Islam dalam konteks yang sebenar.
“Golongan muda mesti memainkan peranan menerang dan menunjukkan contoh peribadi muslim yang baik kepada semua. Media sosial boleh digunakan bagi tujuan penyebaran Islam yang murni,” katanya.
Pada Sabtu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).