Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM), Datuk Razali Idris mengajak rakyat terutama umat Islam boikot barangan buatan Sweden sebagai tindak balas terhadap tindakan ahli politik sayap kanan negara itu, Rasmus Paludan membakar al-Quran di Stockhlom, Ahad lalu.
Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata tindakan boikot itu termasuk mengelak mengunjungi gedung jualan atau membuat pesanan pembelian barangan buatan Sweden secara dalam talian.
“Seluruh Ahli Dewan Negara juga mendesak kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas dan drastik kepada pelaku yang mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik Sweden terbabit.
Razali yang ditemui media selepas menyampaikan bantuan dan bakul makanan anjuran Skuad Prihatin BERSATU kepada mangsa banjir di Dungun, berkata tindakan boikot barangan Sweden perlu dilakukan seluruh rakyat, terutama umat Islam sehingga tindakan tegas ke atas Paludan diambil negara terbabit.
“Jika kerajaan Sweden gagal dan tidak mengambil tindakan, ia ibarat bersetuju dengan tindakan Islamofobia yang sewenang-wenangnya menghina umat Islam. Tindakan bakar al-Quran membangkitkan kemarahan kalangan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, membangkitkan kemarahan dunia Islam apabila membakar al-Quran ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).