Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dilantik mengetuai portfolio Kementerian Komunikasi dan Digital selepas sesi Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu, di ibu negara.
Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia turut menganggotai portfolio Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Dalam Negeri.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai portfolio Kementerian Komunikasi dan Digital, serta menganggotai portfolio Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, dan Kementerian Dalam Negeri.
“InsyaAllah tanggungjawab ini akan saya galas sebaiknya untuk manfaat bukan sahaja warga Tasek Gelugor yang saya wakili, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, sesi pemukiman hari ini melantik 26 Ahli Parlimen PN mengetuai portfolio bagi meneliti, mengkaji dan menjuarai isu-isu membabitkan kementerian berkaitan.
Antara 26 Ahli Parlimen PN, seramai 13 daripadanya adalah BERSATU.
Mengulas lanjut berkait dengan portfolio Komunikasi dan Digital, Wan Saiful berkata tumpuan khusus akan diberikan dalam mempertahankan kebebasan rakyat untuk bersuara.
“Ini kerana kerajaan sekarang kelihatan gemar mempergunakan undang-undang untuk menyekat suara rakyat, termasuk dalam media sosial.
“Pada masa yang sama, perkembangan industri seni dan juga ketersambungan (connectivity) di semua peringkat akan turut menjadi perhatian saya.
“Melalui portfolio lain yang juga saya anggotai, terutama Ekonomi dan Kewangan, insha Allah saya akan terus membawa suara dan rintihan rakyat ke peringkat paling tinggi.
“Kerajaan PH-BN ini terlalu sibuk membalas dendam politik dan mencari jalan untuk menekan kami dalam PN, sehingga mereka terus gagal menangani keluhan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang semakin mencengkam,” katanya lagi.
Jelasnya, melalui portfolio-portfolio ini, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen PN akan memainkan peranan terbaik untuk memberi semak imbang kepada kerajaan PH-BN.
“Kepada semua rakan-rakan yang dilantik hari ini, ayuh kita semarakkan demokrasi di Malaysia dengan memainkan peranan kita sebagai pembangkang yang berwibawa!” ujarnya.