Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui pembekuan akaun menjejaskan pergerakan parti itu, terutama bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri (PRN) dalam beberapa bulan lagi.
Bagaimanapun, beliau yakin usaha gigih ahli dan penyokong parti, terutama menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN), Bersatu mampu meraih kemenangan besar di semua negeri berkenaan.
Beliau menegaskan pengalaman kekurangan dana ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 memberi banyak pengajaran kepada Bersatu untuk bergerak dengan kekuatan sedia ada dan akhirnya berupaya merampas kerajaan negeri dan kerajaan Pusat daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Akaun Bersatu telah lebih sebulan dibeku, kita akui ia memberikan kesan kepada parti terutamanya untuk membayar gaji kakitangan, sekarang kita tidak boleh buat apa-apa. Malah menyukarkan kami bergerak dengan lebih efektif dalam PRN akan datang.
“Namun pengajaran PRU-14 telah memberi banyak pengalaman kepada kita untuk menggunakan kekuatan sedia ada. Bayangkan pada itu, kita cat sendiri bendera Bersatu, tetapi kita mampu menang dan bentuk kerajaan.
“Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU15, insya-Allah kita boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor,” katanya menurut laporan Utusan.
Sebelum ini, SPRM bertindak membekukan akaun-akaun parti Bersatu berkaitan dengan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit dalam pakej rangsangan Covid-19.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, telah menafikan sama ada beliau atau parti itu melakukan penyelewengan sebagaimana di dakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar pada mulanya mendakwa berlaku penyelewengan sebanyak RM600 bilion, sebelum menukarnya kepada RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, penjelasan Muhyiddin itu merupakan suatu mesej kepada umum bahawa segala tuduhan adalah satu fitnah dan pembohongan.
Katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan keluarganya.
“Ini satu mesej yang rakyat perlu lihat, bahawa penafian Presiden Bersatu ini merupakan satu tuduhan bukan-bukan. Sekejap tuduh seleweng RM600 bilion. Lepas itu tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta pula,” katanya. – Agenda Daily