Serangan berterusan terhadap pemimpin pembangkang akan menyebabkan kesan balas terhadap kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mungkin ini (serangan) disebabkan enam PRN akan datang dan itulah sebabnya mereka cuba mewarnakan kami dengan kehitaman dan melabel kami sebagai pencuri supaya rakyat tidak menyokong kami, kata Pengerusi PN itu lagi.
Menurutnya tuduhan kononnya berlaku penyelewengan dana ketika beliau menjadi Perdana Menteri hanya ciptaan dibuat demi menghasut rakyat membenci PN.
“Sekarang ini kalau boleh dihitamkan muka saya dan semua (pemimpin PN) ini, kata (kita ini) perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita.
“Tetapi saya percaya gelombang sokongan terhadap Perikatan Nasional sebelum ini akan diteruskan dalam enam PRN itu yang akan PN tarah,” katanya membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini (15 Februari 2023).
Enam negeri yang akan mengadakan PRN, dijangka Jun depan, ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu yang masing-masing diperintah PN menerusi PAS, serta Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (PH).
Muhyiddin berkata beliau belum lagi bercadang mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau melakukan penyelewengan.
“Saya belum lagi nak ambil tindakan undang-undang. Kesian kepada perdana menteri baharu, bagi dia peluang dulu,” katanya selain bersumpah tidak pernah mengambil sebarang dana pakej bantuan pernah diumumkan ketika menerajui pentadbiran.
Muhyiddin juga berkata apa sahaja yang diluahkan oleh rakyat Malaysia biasa di TikTok bukanlah fitnah, kerana ia hanyalah luahan sentimen.
“Terima kasih, kami tidak mahu bergaduh di sini. Jika ia benar, maka ia benar. Jika ia fitnah, maka ia adalah fitnah. Tetapi, jika ia bukan fitnah dan ia hanyalah luahan sentimen rakyat melalui TikTok, apa salahnya? Saya tidak faham,” katanya.- Agenda Daily