Tuduhan yang dilemparkan oleh kerajaan campuran terhadap Perikatan Nasional (PN) kononnya terlibat dalam penyelewengan dan rasuah hanya semata-mata mahu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada tahun ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan liar yang dibuat oleh kerajaan campuran bertujuan untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap gabungan tersebut dan mengharapkan rakyat akan menyokong mereka pada PRN nanti, ia selepas beberapa bulan mentadbir negara masih gagal menunaikan janji kepada rakyat.
“Macam sampai hari ini menuduh, ini serius… Yang tuduh saya mantan Perdana Menteri (PM), saya juga adalah Pengerusi Perikatan Nasional.
“Tapi saya tahu muslihat ini adalah politik, supaya orang akan marah dengan saya ataupun orang fikir saya adalah perompak, penipu dan saya salah guna kuasa. Pertama tak curi duit tak rasuah lah, tapi dia salah guna, adakah saya salah guna kuasa? Dimana pihak yang berkuasa, yang berkuasa bukan Perdana Menteri tapi undang-undang, ada Akta Kewangan, Perbendaharaan… itu bukan diperingkat saya dan peruntukan bukan diperingkat saya, itu diperingkat Kementerian Kewangan.
“Kalau saya lulus pun tidak sah kerana tidak ada kuasa,” katanya mengulas berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya baru-baru ini.
Muhyiddin terdahulu menghadiri program derma darah anjuran TSM Charity Golf Foundation hari ini.
Terdahulu, mantan PM Kelapan itu mengesahkan sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan melibatkan program projek Jana Wibawa yang dikendalikan dibawah Kementerian Kewangan (MoF).
Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mendakwa berlaku penyelewengan berpuluh bilion semasa pentadbiran kerajaan terdahulu dan cuba menjadi Muhyiddin sebagai sasaran.
“Jadi, ini satu fitnah saya nak jelaskan disini. Memang macam deraan, nak buat tuduhan-tuduhan berkali-kali sampai 600 bilion, sampai turun ke 300 bilion… tak ada (wang).
“Parti saya adalah parti yang penting yang kita perlukan memang sumbangan. Tapi orang ramai datang. Mereka yang sokong perjuangan kita, mereka yang percaya dengan pendirian Perikatan Nasional berdiri,” katanya lagi.
Muhyiddin juga tidak menolak akan mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang berhubung tuduhan liar yang dilemparkan terhadap dirinya dan PN.
“Peguam saya sedang meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak yang membuat tuduhan,” katanya.
Muhyiddin berkata dakwaan dan tuduhan jahat yang dilemparkan oleh kerajaan campuran adalah jelas mempunyai motif politik kerana terdesak untuk memenangi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.
(Tuduhan) niat jahat yang dibuat oleh pihak ini, pimpinan parti PH (Pakatan Harapan) terhadap saya. Mungkin kerana nak menghadapi PRN, enam buah negeri akan ada pilihan raya.
“Buat dilihat supaya saya nampak jahat dan apabila pilihan raya esok mereka menang… Saya percaya mereka tidak akan menang kerana rakyat sudah diberitahu apa yang mereka lakukan dan apa yang tidak saya lakukan,” katanya lagi. – Agenda Daily