Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil untuk memberi kenyataan dan penjelasan berhubung program projek Jana Wibawa dan bukan sebagai suspek, jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata semasa sesi tersebut, kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM dalam siasatan melibatkan projek Jana Wibawa yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.
“Saya sudah berikan kerjasama yang agak baik, mereka pun agak secara berhemah… tapi kerana nak minta beri kenyataan dan saya tanya adakah saya suspek, dia kata bukan suspek.
“Suspek bermakna mungkin saya dituduh, cuma saya diminta bantu untuk menjelaskan hal-hal yang telah saya jelaskan,” katanya semasa ditemui media selepas program derma darah anjuran TSM Charity Golf Foundation hari ini.
Sepanjang memberi kenyataan tersebut, Muhyiddin berkata pihak penyiasat SPRM memberi senarai syarikat yang tidak dikenalinya memandangkan proses kelulusan bagi projek tersebut diputuskan oleh pihak Kementerian Kewangan dan bukan pejabat Perdana Menteri.
“Sebahagian daripada lain itu dia (SPRM) tanya kenal ke tidak kontraktor. Saya tak kenal. Tak pernah berjumpa pun dengan mereka. Nama-nama syarikat pun saya tak tahu. Dia bacakanlah senarai syarikat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga mendedahkan berkemungkinan pihak SPRM juga akan memanggil bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membantu memberi kenyataan berhubung projek tersebut.
Selain itu, Muhyiddin menegaskan pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
“Kita dah minta peguam kita teliti. Tak berhenti-henti fitnah terhadap saya. Anda semua baca, anda media, tuduhan macam-macam, media arus perdana bawa berita itu, televisyen pun bawa berita itu.
“Saya ini dah 50 tahun dalam kerajaan, tiada kes tuduhan rasuah kepada saya. Tiada salah guna kuasa. Bukan nak kata itu tapi tak report saya lama-lama dulu masa Timbalan Perdana Menteri? Tiada.
“Saya ikut peraturan. Saya nak tegaskan saya pegang teguh pada keluhuran undang-undang tapi mereka tak yakin. Mereka golongkan saya macam golongan perompak yang lain. Saya tidak begitu,” katanya.
Tegasnya, beliau ada prinsip dan akan sentiasa berpegang kepada prinsip yang benar.
Muhyiddin turut meluahkan kekecewaan dengan beberapa kenyataan yang seolah-olah menuduh beliau salah guna kuasa dan rasuah.
“Sesuatu perkara seperti itu tidak seharusnya mudah dikeluarkan kenyataan sampai hari ini… macam menuduh ini serius, yang dituduh ini, saya mantan Perdana Menteri, saya juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN)
“Tapi saya tahu muslihatnya adalah politik supaya orang akan marah saya orang fikir saya perompak, penipu salah guna kuasa.
“Pertama kalau tidak curi duit, rasuahlah, tapi dia kata saya salah guna kuasa? Adakah saya salah guna kuasa?
“Di mana pihak berkuasa tapi undang-undang, ada Akta Perbendaharaan Kewangan. Itu bukan di peringkat saya, itu di peringkat Kementerian Kewangan. Kalau saya luluskan pun tidak sah,” ujarnya. – Agenda Daily