Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya baru-baru ini bagi memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa dan bukan melibatkan tuduhan penyelewengan berjumlah berbilion seperti dituduh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan projek Jana Wibawa sebelum ini dikendalikan oleh pihak Kementerian Kewangan (MoF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian tersebut, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), tetapi sebaliknya banyak tuduhan dilemparkan terhadapnya kononnya terlibat dalam penyelewengan.
“Jadi proses menimbang pun dan sampai ke peringkat lulus itu tidak melibatkan Perdana Menteri. Ini saya penting nak jelaskan, punca kuasa bukan pada Perdana Menteri tetapi ialah di peringkat Kementerian Kewangan,” katanya semasa ditemui media selepas program derma darah anjuran TSM Charity Golf Foundation hari ini.
Jelasnya lagi, sepanjang memberi keterangan kepada SPRM baru-baru ini lebih menjurus kepada isu berhubung projek Jana Wibawa dan bukannya puluhan bilion seperti yang didakwa oleh Anwar dalam siri sidang medianya sebelum ini.
“Jadi maknanya itu saja spesifik berkaitan dengan Jana Wibawa, tak ada kaitan dengan 600 bilion, langsung dia tak tanya saya. Tak ada (tanya) 530 bilion, yang ini memang Perdana Menteri tuduh ataupun 86 bilion ataupun 4.5 bilion.
“Hari ni semua orang tahu. Itu adalah satu tuduhan yang agak serius tapi terbukti tidak melibatkan (tak terlibat),” katanya lagi.
Menurut Muhyiddin lagi, terdapat permohonan untuk menurunkan punca kuasa daripada MoF kepada Perdana Menteri waktu itu untuk meluluskan permohonan syarikat dalam projek Jana Wibawa, namun ia ditolak semasa pentadbirannya.
‘Ada satu ketika Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Seri Asri Hamidin pada waktu itu mencadangkan pada pihak pejabat saya supaya pejabat saya memproses permohonan-permohonan.
“Saya tolak, seolah macam dia nak turun kuasa kepada pihak Pejabat Perdana Menteri. Saya takut, saya tak suka buat macam itu dan saya kata ini bukan kerja Pejabat Perdana Menteri. Ini adalah kerja yang harus diuruskan oleh Kementerian Kewangan atau lain-lain agensi yang bertanggungjawab,” jelasnya lagi.
Muhyiddin juga menjelaskan cadangan projek Jana Wibawa datang daripada Menteri Kewangan waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membantu kontraktor bumiputera yang terjejas akibat penularan Covid-19.
“Jana wibawa ini ialah satu projek yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kewangan yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan waktu itu Tengku Zafrul pada saya yang saya setuju ialah kerana di waktu Covid antara yang paling teruk terkesan ialah kontraktor-kontraktor bumiputera.
“Kalau tak dibantu sebahagian besar dah gulung tukar,” katanya lagi.
Muhyiddin juga tidak menolak pihak SPRM akan memanggil Tengku Zafrul pada masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa tersebut. – Agenda Daily