Menteri Besar dan Ketua Menteri enam negeri, hari ini (22 Februari 2023) mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur bagi membincangkan tarikh sesuai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.
Enam mereka ialah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah); Datuk Ahmad Yakob (Kelantan); Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu); Chow Kon Yeow (Ketua Menteri Pulau Pinang); Datuk Seri Amirudin Shari (Selangor); dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).
Muhammad Sanusi dalam satu kenyataan hari ini berkata semua menteri besar dan ketua menteri berusaha untuk mengadakan PRN secara serentak.
“Pertemuan enam Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri terbabit diadakan pada petang ini (22 Februari) bagi membincangkan cadangan-cadangan tarikh yang sesuai dibuat pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing.
“Kesepakatan ini akan dibawa kepada persetujuan parti masing-masing, kemudian akan disembah maklum untuk memohon limpah perkenan Ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tunku Sultan dan TYT Yang DiPertua negeri-negeri terbabit,” katanya.
Beliau menjelaskan mereka berpendapat tarikh bagi pembubaran DUN yang paling sesuai ialah pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun 2023.
“Bergantung kepada limpah perkenan KDYMM Tuanku Sultan dan TYT Yang DiPertua Negeri, tarikh pilihanraya negeri kelak akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” katanya.
Semua negeri berkenaan sebelum ini tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022.
Kedah, Kelantan dan Terengganu diperintah Perikatan Nasional menerusi PAS, manakala Selangor dan Negeri Sembilan oleh Pakatan Harapan (PKR), serta Pulau Pinang (PH-DAP).