Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melahirkan kebimbangan kekurangan tindakan dan pelan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) bagi menangani isu kos sara hidup yang membayangi rakyat jelata, terutama golongan B40 dan M40.
Presidennya, Senator Datuk Dr Dominic Lau sehubungan itu, mengingatkan kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang beberapa isu yang memerlukan perhatian segera seperti kos sara hidup yang kian meningkat dan membebankan rakyat.
Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak mengetepikan suara lantang rakyat dalam draf belanjawan yang bakal dibentangkan pada Jumaat ini.
“Kerajaan seperti nak buat sesuatu akan tetapi tiada impak positif dalam tindakannya.
“Kerajaan perlulah memberi perhatian yang lebih efektif kepada usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (23 Februari 2023).
Dr Dominic juga menggesa kerajaan PH-BN supaya berhenti memberi alasan dan mempermainkan rakyat jelata, sebaliknya belanjawan yang bakal dibentangkan mestilah seiring dengan janji manifesto mereka terhadap rakyat.
Selain itu beliau berkata kerajaan juga tidak boleh bersikap sambil lewa dalam usaha meneguhkan keterjaminan makanan di negara ini.
“Usaha memastikan negara dan rakyat mempunyai makanan yang cukup di samping mengawal harga barangan asas yang ditawarkan dalam pasaran agar berpatutan adalah sangat penting kerana makanan merupakan keutamaan dalam kehidupan harian,” katanya.
Dr. Dominic Lau juga berkata kerajaan tidak sepatutnya memandang rendah terhadap isu dan memperalatkan kenyataan tersebut di dalam arena politik seperti isu kekurangan ayam yang berlaku baru-baru ini dan ada yang mengata; “jika telur ayam mahal, jangan makan telur ayam.”
Beliau turut berkata, kerajaan campuran sekarang bukan lagi pembangkang, jadi mereka sepatutnya bertindak seperti kerajaan yang satu bukan pembangkang.
Berhubung dengan sektor khidmat kesihatan dalam negara yang dilabelkan oleh pemerhati sektor tersebut sebagai merosot dan bakal digelar ‘zon merah’, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional berharap kerajaan menekankan kebajikan petugas kesihatan dan mencari penyelesaian yang komprehensif kepada sektor kesihatan awam.
Ini termasuk meningkatkan peruntukan kementerian, menambahkan jumlah petugas, memberi kuasa kepada kementerian agar mengendali penawaran, pelantikan dan kenaikan pangkat dan sebagainya. Sektor kesihatan ini amat penting kepada rakyat, jangan terlalu leka dan menjadikan rakyat mangsa kepada ketidak-upayaan kerajaan, katanya.
Dalam konteks ini, Dr Dominic Lau juga mengambil contoh daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang memasukkan Hospital Pulau Pinang sebagai salah satu produk pelancongan perubatan di dalam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030, yang menunjukkan bahawa kerajaan tidak memberikan perhatian yang cukup di dalam sektor kesihatan negara kita.
“Selain isu kelelahan seperti ‘overworked’ and ‘underpaid’ petugas kesihatan, kita juga difahamkan bahawa masa menunggu yang sangat lama di hospital kerajaan kebelakangan ini. Yang ini merupakan kesan domino daripada isu sedia-ada. Rakyat sedang lantang bersuara kerana mereka mahukan perkhidmatan yang efisien dan pantas.
“Hal ini haruslah dipandang serius kerana jika berlarutan, Malaysia mungkin bakal dilanda krisis kekurangan kakitangan yang lebih teruk dalam sektor kesihatan kerana tidak hairan bagi mereka untuk meninggalkan arus sektor perkhidmatan awam dan berhijrah ke sektor yang lain,” katanya.- Agenda Daily