Perbincangan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri yang dijangka Julai depan, berjalan lancar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata semua parti komponen – Bersatu, PAS dan Gerakan – sedang memuktamadkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkaitan.
Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini (23 Februari 2023), beliau menjelaskan perbincangan pengagihan kerusi itu berjalan baik tanpa sebarang masalah.
“Kita masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi untuk ditandingi parti komponen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Bagaimanapun, kami telah beberapa kali mengadakan perbincangan untuk pengagihan kerusi dalam kalangan parti PN… tiada masalah,” katanya.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen PN Larut berkata, perbincangan itu juga menjurus mengenai penggunaan logo yang bersesuaian di negeri-negeri yang ditadbir PAS iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, semua calon PN di Kelantan dan Terengganu menggunakan lambang PAS, manakala negeri-negeri lain menggunakan logo PN.
Untuk rekod, enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – tidak menyertai PRU-15 yang diadakan 19 November tahun lalu.
Semalam, enam menteri besar dan ketua menteri di negeri terbabit mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur bagi membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN serentak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataannya selepas mesyuarat itu berkata semua menteri besar dan ketua menteri sepakat tarikh bagi pembubaran DUN yang paling sesuai ialah pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun 2023. – Agenda Daily