Belanjawan Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lebih dua jam di Dewan Rakyat petang tadi, mengecewakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Belanjawan yang dibentangkan hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat sekarang.
“Pembentangan Belanjawan 2023 tidak menyentuh tentang kenaikan gaji kakitangan awam. Tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam.
“Sedangkan model gaji dan upah mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik mendadak. – HARAKAHDAILY