Rasuah dan penyelewengan menjadi punca imej negara tercalar teruk, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2023 yang duduk sebelahnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan pertuduhan di mahkamah berkata disebabkan amalan rasuah tersebut menyebabkan kedudukan negara dalam indeks rasuah jatuh lagi.
Anwar berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 juga telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang pernah dicapai pada 1998.
“Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik.
“Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan, wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.
“Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
“Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan
2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini.
Tegasnya lagi, situasi itu adalah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara.
“Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang.
“Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyentuh berhubung skandal rasuah terbesar dunia melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sebelum ini menyebabkan imej negara tercalar teruk.
Selain itu, hutang negara juga terbeban akibat faedah yang terpaksa ditanggung untuk membayar hutang 1MDB.-Agenda Daily