KOTA BHARU | Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) untuk tidak membayar royalti petroleum kepada negeri Kelantan dan Terengganu tidak lebih daripada langkah politik yang mahu menyeksa rakyat di kedua negeri tersebut.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, hal ini penduduk di kedua negeri tersebut tidak memenangkan wakil rakyat PH dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu di Kelantan dan Terengganu.
Beliau berkata, maka dengan itu Kerajaan Persekutuan PH-BN mengambil tindakan menyeksa rakyat Kelantan dan Terengganu.
“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan perasaan serta sifat dendam yang mendalam mengambil keputusan yang tidak profesional dan tidak rasional dengan menyisihkan pembayaran royalti kepada negeri-negeri itu.
“Hal ini kerana rakyat di kedua negeri tersebut tidak memberi undi serta kemenangan kepada parti PH dan BN dan mereka mengambil tindakan menyeksa rakyat di negeri tersebut dengan menafikan bayaran royalti petroleum,” katanya ketika ditemui media di Hotel Perdana, di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu berkata, umum mengetahui bahawa Kelantan merupakan salah satu negeri mundur dalam negara.
Katanya, dengan penafian bayaran royalti petroleum tersebut akan mengakibatkan Kelantan akan terus mundur bukan sahaja dari sudut sosial malah demografi.
“Akibat kekurangan infrastruktur, punca pendapatan dan peluang pekerjaan menyebabkan rakyat Kelantan berhijrah ke Lembah Klang untuk meneruskan kelangsungan hidup dan ianya tidak wajar sekiranya berlanjutan.
“Untuk itu, saya simpulkan penafian royalti ini sebagai satu langkah kerajaan PH-BN untuk membalas dendam dan menjadikan Kelantan serta Terengganu negeri contoh kepada negeri lain sekiranya tidak menyokong mereka,” katanya.
Mohamed Farid berkata, Kelantan dan Terengganu dijadikan kambing hitam supaya pengundi negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terus menyokong PH-BN sekiranya tidak mahu dianak tirikan.
“Ini adalah sifat sebenar PH dan BN itu sendiri.
“Tindak tanduk mereka ini jauh bertentangan dengan apa yang mereka tasbihkan setiap hari “Kerajaan Madani”,” katanya.