KOTA BHARU | Kerajaan Perpaduan terlalu retorik dan tidak ada plan jangka masa panjang yang strategik untuk memajukan negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, setakat ini banyak tindakan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PN)- Barisan Nasional (BN) menyisihkan rakyat.
Katanya, perkara jelas yang berlaku sehari dua lalu adalah membatalkan penghapusan hutang Felda dan penafian royalti petroleum bagi negeri Kelantan dan Terengganu.
“Kita belum melihat apa perkembangan positif daripada kerajaan PH-BN, masalah telur belum lagi selesai…kata import telur dari India dan sebagainya namun telur datang lebih kecil dengan harga yang lebih mahal…ada cadangan pengapungan harga telur, tapi minta tempoh dua bulan untuk selesaikan.
“Saya pun tak faham kenapa perkara itu tidak dilakukan segera? Kenapa perlu tunggu dua bulan? Adakah ibu-ibu ayam yang bertelur itu minta cuti dua bulan? Saya pun tak pasti.
“Cumanya setakat yang kita dengar hari ini kerajaan terlalu banyak retorik dan tidak ada apa-apa pembangunan pelan jangka masa panjang yang strategik untuk memajukan negara, meningkatkan pendapatan bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup serta ‘memadanikan’ rakyat,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu.
Beliau berkata, segala tindakan yang diambil oleh kerajaan PH-BN adalah menyisih serta menyeksa rakyat terutamanya penyokong Perikatan Nasional (PN).
Malah katanya, tindakan kerajaan menyiapkan bajet tanpa adanya Ketua Setiausaha Perbendaraan (KSP) kerana jawatan tersebut tidak diisi juga tidak difahami.
“Saya pun kurang pasti dan kurang faham bagaimana bajet boleh disiapkan tanpa adanya KSP. Sedangkan KSP adalah pengurusan tertinggi di Kementerian Kewangan.
“Dalam hal lain pula, kita lihat bahawa banyak perkara yang disebutkan kerajaan PH-BN dalam bentuk formula dan sebagainya. Namun formula tinggallah formula, mereka kata akan diselesaikan dengan cara begini dengan cara segini dan sebagainya tetapi belum lagi dapat diselesaikan,” katanya.
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata kerajaan PH-BN dilihat sedang membalas dendam terhadap musuh politik mereka.
“Saya pun tak tahulah macam mana, cuma yg kita nampak paling jelas adalah mereka seperti dirantai dengan dendam kesumat dan apa yang mereka lakukan dalam tempoh 100 hari ini tidak lebih daripada membalas dendam,” katanya.