KOTA BHARU | Penarikan balik pelupusan hutang Felda akan membebankan semula lebih 112,000 peneroka Felda di seluruh negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, sekiranya hutang itu diwujudkan semula, maka bayaran balik akan dituntut semula pada peneroka tersebut.
Katanya, ia bakal melibatkan 92,441 peneroka yang membuat pinjaman penanaman semula, 52,180 pembelian baja, 38,043 pembelian saham FGV Holding dan 6,711 modal pembangunan.
“Malah ada juga diantara mereka ini yang ambil pinjaman bagi kesemua tujuan tersebut dan golongan itu mempunyai hutang yang paling tinggi.
“Kita kurang pasti cara penarikan balik pelupusan hutang yang dibuat kerjaan kerana menerusi kenyataan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh bahawa pelupusan hutang tersebut sudah selesai pada tahun 2021,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata, RM8.3 bilion adalah satu jumlah yang besar dan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah tentu akan membebankan peneroka.
Katanya, walaupun produktiviti pengeluaran sawit meningkat sebanyak 12 peratus tahun lalu, namun ia masih tidak setimpal untuk menampung keperluan hidup.
“Jadi saya melihat, tindakan kerajaan PH-BN ketika ini seolah-olah menghukum peneroka kerana memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Jadi kes ini lebih kurang sama dengan menyekat pemberian royalti petroleum kepada negeri Kelantan dan Terengganu. Kerajaan PH-BN mengambil tindakan untuk menyeksa dan menganaktirikan golongan peneroka Felda.
“Tindakan ini sudah pasti akan menyeksa dan meruntuhkan kewangan peneroka Felda,” katanya.