Anggota polis berpangkat Lans Koperal direman bermula selama tujuh hari sehingga 12 Mac bagi membantu siasatan kes menembak isterinya sehingga maut di di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar.
Suspek kini dirawat dan bakal menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital itu selepas ditahan pihak polis berhubung kes membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 26, yang juga seorang suri rumah.
Suspek berusia 27 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu direman selepas mendapat perintah Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor di wad di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Supek dipercayai menembak mangsa lebih daripada lima das tembakan menggunakan pistol dari jenis Walther P99 dari jarak dekat mengenai bahagian muka di mata sebelah kiri mangsa di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi, mengesahkan reman suspek dan ketika ini pihaknya juga sedang menyiasat motif suspek bertindak sedemikian sehingga membunuh isterinya.
“Malah, kita juga sedang menyiasat daripada pelbagai aspek sama ada suspek terbabit dengan penyalahgunaan dadah, faktor kemurungan atau permasalahan membabitkan mental.
“Ini disebabkan tiada sebarang pergaduhan mahupun pertikaman lidah berlaku antara pasangan terbabit sebelum kejadian itu,” katanya dipetik laporan BH.
Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, suspek dipercayai baharu pulang dari tugasannya menembak mati isterinya.
Malah difahamkan daripada keluarga mangsa, suspek tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik sebelum kejadian.
Selain itu juga, suspek dikatakan sempat minum bersama isteri di dapur sebelum kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.