Gerakan Reformasi pernah mengheret rakyat mengadakan demonstrasi jalanan kononnya untuk melawan konspirasi politik ditimpakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berikrar dan menegaskan tidak akan menggunakan cara sama sedemikian untuk mempertahankan dirinya yang berdepan pemangsaan politik terancang kini.
Beliau sebaliknya meminta rakyat, khususnya ahli dan penyokong Perikatan Nasional (PN) supaya kekal bertenang dan memberi peluang kepadanya untuk membela diri melalui proses undang-undang di mahkamah.
“Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat COVID-19.
“Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.
“Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas dihadapkan enam pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa dirinya atas pertuduhan berkaitan Jana Wibawa dan pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhari.
“Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil? Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal.
“(Iaitu) oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan. Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.
“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution,” ujar beliau yang telah 50 tahun berkecimpung dalam politik. – HARAKAHDAILY