KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2023 sebayak RM7.00.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pembayar zakat di negeri ini bagaimanapun, mana-mana individu yang ingin membuat bayaran RM14.00 atau RM21.00 berdasarkan keselesaan menurut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.
Beliau berkata, perkara tersebut diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Muhammad V, Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
“Kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan pula sebanyak RM21,553.15 untuk haul antara Ramadan tahun 1444H hingga Ramadan tahun 1445H.
“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di Masjid-masjid Bandar dan Jajahan atau menerusi portal MAIK di zakat.e-maik.my,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Beliau turut mengharapkan kerjasama semua pihak agar mengambil maklum berkenaan ketetapan yang dikeluarkan.
“Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan ini dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan.
“Saya bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mengucapkan ‘Selamat Menunaikan Ibadah Zakat’ kepada semua umat Islam,” katanya.