Armada Bersatu Nasional (Armada) hari ini membuat laporan polis berkaitan satu acara pembukaan rasmi sebuah bar yang akan menampilkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy.
Laporan itu dibuat Exco Armada, Muhammad Harris Idham Abdul Rashid, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di ibu negara.
“Saya telah melihat satu poster berkenaan satu pesta luar tabie yang tular di media sosial yang dinamakan ‘Grand Opening of Privacy Club Tun Razak featuring Thai Hot Guy; yang dijadual pada Khamis, 30 Mac 2023, jam 6 petang di sebuah kelab di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Dalam poster berkenaan, pihak penganjur telah menyatakan akan menjemput sekumpulan lelaki berpakaian wanita dan turut tersebar adalah beberapa keping gambar aksi tidak senonoh antara kumpulan lelaki itu dengan beberapa wanita seolah-olah memberi gambaran tentang bagaimana program itu akan diadakan.
“Hantaran di media sosial itu telah membangkitkan kemarahan orang Islam kerana ia jelas bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat Malaysia, apatah lagi bakal diadakan pada bulan Ramadan,” katanya ketika membaca laporan polis itu pada sidang media hari ini (22 Mac 2023).
Muhammad Harris berkata hebahan secara terang-terangan itu telah menghina kesucian dan kemuliaan bulan Ramadan serta menyinggung sensitiviti umat Islam.
“Ia juga telah mencetus kegusaran awam dan boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat bahawa sekiranya program itu diteruskan, keamanan dan kestabilan negara boleh terjejas ekoran daripada kemarahan yang ditunjukkan umat Islam sejak semalam,” katanya lagi.
Menurutnya aduan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa dapat menyiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Kanun Keseksaan.
Beliau turut mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan membatalkan acara itu.
Pada masa sama, beliau turut menggesa menteri agama menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat orang Islam yang turut menjayakan atau merancang acara berkenaan.
Sementara itu, siasatan awal DBKL mendapati premis tersebut dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd.
Bagaimanapun lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021 lalu dan premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan serta tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau untuk menjalankan aktiviti hiburan.
DBKL juga dilaporkan dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur.-Agenda Daily