KOTA BHARU | Pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di kini berada di peringkat akhir.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan pembahagian kerusi antara parti komponen di peringkat negeri berjalan dengan lancar dan harmoni.
Katanya, perbincangan itu juga termasuk dengan portfolio yang bakal disandang sekiranya PN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya amat gembira kerana dalam PN usaha untuk kita bahagikan kerusi antara parti-parti komponen berjalan dengan baik dan penuh harmoni. Saya amat yakin dan percaya proses ini diperingkat akhir serta akan dapat satu keputusan yang akan memuaskan hati semua parti komponen.
“Insya-Allah saya berkeyakinan penuh usaha yang sedang dibuat dan sekarang ini sudah peringkat akhir. Tidak lama lagi kita akan ‘finalize’ dan muktamadkan.
“Sebaik sahaja dimuktamadkan, ketua-ketua parti akan menandatangani perjanjian pembahagian kerusi ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan barisan Kepimpinan BERSATU negeri Kelantan, semalam.
Mengulas mengenai pembekuan akaun BERSATU oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Faizal berkata, situasi tersebut tidak membimbangkan.
Katanya, hal ini kerana sokongan rakyat kepada PN terutamanya orang Melayu amat tinggi.
“Walaupun tidak begitu mudah (pembekuan akaun) namun kita masih dapat sokongan dan bantuan daripada orang ramai. Apabila kita mengadakan program kita juga melancarkan tabung.
“Setiap kali kita melancarkan tabung ini sumbangan yang diberikan orang ramai itu amat memberangsangkan jadi saya rasa lega namun usaha perlu dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.