KOTA BHARU | Sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus kepada perkara yang beliau janjikan kepada rakyat sejak berpuluh tahun dahulu.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Anwar sudah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Jadi katanya, sudah seharusnya PMX memberi tumpuan kepada perkara yang telah sebutkan sebelum ini daripada menggunakan agensi kerajaan menekan pemimpin parti lawan.
“Selepas dugaan pandemik Covid-19, begitu ramai rakyat dalam kesusahan maka saya fikir beliau sepatutnya memberi fokus kepada perkara yang beliau sendiri sebut saban tahun serta janji yang beliau yakin boleh bawa untuk rakyat Malaysia.
“Beliau yang sudah tentunya mempunyai kelebihan sebagai PM dan Ketua Kerajaan tidak perlulah menekan lawan politik untuk mengekalkan penguasaannya.
“Sebaliknya, saya fikir sudah tiba masanya setiap parti politik memperkenalkan manifesto masing-masing serta cuba untuk mendapatkan sokongan daripada orang ramai,” katanya di sini, semalam.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata lagi, tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pimpinan PN sedikit pun tidak menjejaskan sokongan rakyat.
Katanya, malah sokongan yang diterima PN pada waktu ini amat memberangsangkan.
“Dengan tindakan yang dibuat oleh kerajaan sekarang ini, kita nampak sokongan rakyat terhadap PN bertambah.
“Saya fikir dia (Anwar) tidak perlu bimbang, kerana proses demokrasi berjalan dengan sendiri, yang penting jagalah kebajikan rakyat melebihi perkara lain,” katanya.