KOTA BHARU | Rakyat Malaysia atau netizen diminta untuk menghormati dan membiarkan Syamsul Yusof menyelesaikan isu rumahtangganya bersama dengan Puteri Sarah.
Pemangku Presiden Khalifah Nasional Malaysia, Datuk Seri Dr Fared Ab Ghani berkata, apa yang berlaku antara Syamsul dengan isteri pertamanya itu tidak seharusnya dijadikan isu oleh netizen.
Katanya, kenapa perlu dikecam, ianya adalah hak serta kehidupan masing-masing dan perlu dihormati.
“Perpisahan bukan pengakhiran. Perpisahan mungkin disebabkan jodoh tak panjang, kalau tak bahagia buat apa nak teruskan, biarkan pasangan membuat keputusan hidup masing-masing.
“Sebagai masyarakat dan peminat kita biarkan mereka berdua menyelesaikan isu rumahtangga mereka secara harmoni,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, sebagai orang luar, seeloknya bersangka baik dngan apa yang berlaku.
Katanya, jangan lontarkan komen negatif atau membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Sebagai contoh apa yang berlaku kepada Farid kamil yang masuk campur hal rumah tangga Syamsul, tau-tau rumah tangga sendiri yang bermasalah.
“Hidup kita ni mestilah ada etika kalau tak ada memang kelautlah. Diam lebih baik,” katanya.
Dr Fared turut menasihati pelakon, Datuk Aron Aziz agar bersabar dengan apa yang berlaku.
Katanya, mungkin tidak ada rezeki untuk terus bekerja dengan Syamsul jadi dia perlu reda.
“Hormatilah keputusan pengarah dan penerbit tersebut lagi pula mereka berkawan baik. Tambahan Syamsul sekarang sedang diuji dengan rumahtangga mereka jadi jangan ditambah lagi satu cerita baru.
“Sepatutnya sebagai sahabat baik kita doakan sahaja yang baik bila sahabat kita sedang ditimpa dengan masalah,” katanya.
Ujarnya, apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran untuk semua pihak.
Katanya, tidak ada pasangan dalam dunia ini yang impikan perceraian.
“Allah SWT dah tulis jalan cerita hidup kita. Ajal maut jodoh pertemuan segalanya ketentuan Ilahi.
“Apa yang berlaku itu Asbab dan musabbab sahaja. Kita reda dengan ketentuan Allah,” katanya.